mutakhir

Tiada kaitan Azmin, dana 1MDB

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

TIADA sebarang transaksi serta akaun yang dikaitkan dengan perbuatan rasuah membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan lanjut yang dijalankan mendapati tiada sebarang aktiviti membabitkan perbuatan rasuah yang boleh dikaitkan dengan Mohamed Azmin.

Menurutnya, SPRM juga mendapati dakwaan mengenai kewujudan akaun pada 2012 tidak benar berdasarkan maklumat yang diperoleh selepas beberapa individu turut dipanggil untuk memberi keterangan.

“Siasatan sudah dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada Datuk Lokman Noor Adam dan kami dapati tiada sebarang transaksi dan perbuatan rasuah membabitkan Datuk Seri Mohamed Azmin.

“SPRM juga sudah mendapatkan pengesahan daripada UEM Group Berhad (UEM Group) dan Maybank mengenai dakwaan yang mengaitkan dua entiti itu,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

UEM Group dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan syarikat itu tidak memiliki akaun di cawangan utama Maybank Kuala Lumpur serta tidak memiliki akaun dengan nombor akaun tertera seperti dakwaan dibuat di pelbagai media sosial.

Dalam perkembangan berasingan, Azam berkata, siasatan terhadap dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih diteruskan bagi mengesan entiti lain yang menerima wang daripada syarikat pelaburan strategik itu.

Menurutnya, walaupun 41 entiti termasuk syarikat korporat, parti politik dan individu sudah diumumkan sebelum ini, namun SPRM menjangkakan akan ada lebih banyak penerima akan dikenal pasti.

“Setakat ini memang hanya 41 entiti dan nama yang dikait menerima dana 1MDB tapi pada masa akan datang SPRM menjangkakan lebih banyak penerima akan dikesan kerana siasatan mengenai syarikat itu masih diteruskan sehingga kini.

“Pihak yang menerima surat saman mereka boleh mencabarnya di mahkamah dan ada juga pihak yang sudah mendapatkan bantuan peguam untuk memulangkan semula wang yang diterima. SPRM juga dalam proses mendapatkan wang daripada penerima dan akan diumumkan kemudian,” katanya.

SPRM sudah memfailkan permohonan terhadap 41 individu dan entiti bagi mendapatkan balik wang berjumlah lebih RM270 juta yang dikaitkan dengan dana diseleweng daripada 1MDB.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 12:39pm
d