mutakhir

Kelar leher, tikam perut

Oleh Melvin Joni

POLIS memburu lelaki warga Indonesia dikenali sebagai ‘Selamat’ yang mencederakan wanita senegaranya di Stutong, semalam.

Suspek melarikan diri sebaik mengelar leher wanita terbabit selain menikam bahagian perut dan kepala mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, mangsa yang berusia 36 tahun itu yang lari meminta pertolongan, ditemui seorang lelaki berdekatan asrama pekerja kedai makan di Stutong, kira-kira jam 1.50 pagi tadi.

Beliau berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 1.52 pagi yang memaklumkan seorang wanita ditemui dalam keadaan cedera parah.

“Pemanggil (lelaki) memberitahu ketika berada di kawasan Pusat Komersial Stutong di Jalan Setia Raja, seorang wanita ditemui dalam keadaan berlumuran darah di bahagian leher seperti kena kelar dengan senjata tajam dan meminta bantuan dihantar ke hospital.

“Lelaki itu terus menghantar wanita terbabit ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan keretanya sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awang Din berkata, mangsa baru tiga hari bekerja sebagai pelayan di kedai makan Big Fan Cafe di Stutong dan tinggal di asrama pekerja.

Dalam siasatan awal, mangsa mengaku mengenali suspek bernama Selamat itu kira-kira enam bulan lalu di Indonesia.

“Suspek yang bekerja di restoran bersebelahan dengan tempat kerja mangsa melarikan diri sebaik kejadian itu dan kini usaha mengesannya masih dijalankan,” katanya.

Pihaknya juga masih belum mengenal pasti motif kejadian.

Katanya, mangsa kini dalam keadaan stabil dan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 2:19pm
d