mutakhir

4 beradik gelandangan

Oleh Mary Victoria Dass

TERPAKSA berdikari dan hidup gelandangan yang perlu dilalui empat beradik berusia antara 12 hingga 17 tahun selepas pemergian ibu kesayangan mereka kira-kira tiga tahun lalu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Normawarni Mahat berkata, sejak pemergian ibu, empat beradik berkenaan yang tidak dapat dikenal pasti status warga negara tinggal gelandangan di bandar raya ini.

Menurutnya, empat beradik berkenaan yang dikenali sebagai Ali Ahmad, 12; Alizza, 13; Aliya, 15, dan Alfaid, 17, tidak mempunyai tempat tinggal, tiada penjaga selain tidak memiliki dokumen kelahiran atau pengenalan diri.

Menurutnya, tiada maklumat tepat diperoleh berkaitan kelahiran mereka, malah ibu mereka adalah warga Filipina.

“Mengikut siasatan bapa mereka dikatakan berasal dari Sabah tetapi tiada maklumat lanjut berkaitan diperoleh kerana dipercayai lelaki berkenaan sudah menghilangkan diri.

“Walaupun kehidupan tidak terurus, keempat-empat mereka kekal bersama dan tidak berpisah, selain berdepan dengan dugaan hidup bersama-sama,” katanya.

Normawarni berkata, empat beradik itu menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan termasuk dijangkiti kudis di beberapa anggota badan akibat kegagalan menjaga aspek kebersihan.

Menurutnya, keadaan dilalui empat beradik berkenaan mendapat perhatian seorang wanita yang juga pengusaha restoran dengan membuat laporan polis berkaitan penemuan mereka di hadapan premis perniagaannya di Taman Bunga Raya pada 12 April lalu.

Katanya, empat beradik berkenaan kemudiannya dirujuk ke hospital sebelum dimaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kini mereka yang fasih berbahasa Melayu dan ditempatkan di institusi perlindungan JKM mengikut Seksyen 18 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Mahkamah Bagi Kanak-Kanak sudah mengeluarkan Perintah Jagaan Sementara mengikut Subsekyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan menempatkan kanak-kanak di institusi kebajikan itu buat sementara.

“Kami meminta bantuan ramai bagi mengesan waris demi kesejahteraan empat beradik berkenaan pada masa depan,” katanya.

Bagi maklumat lanjut boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak JKM Johor Bahru Zalilanor Abd Rashid di talian 07-2232606.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 5:11pm
d