mutakhir

Keputusan ujian sampel air normal

Oleh Petah Wazzan Iskandar

RUTIN kehidupan harian Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan sudah kembali normal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ujian sampel air yang dilakukan sebanyak tiga kali ke atas sumber air di kawasan penduduk Orang Asli itu juga didapati normal.

Beliau yang juga juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang ditempatkan di sana memaklumkan ujian yang masuk kali ketiga menunjukkan keadaannya normal seperti ujian pertama.

“Saya menerima laporan melalui aplikasi WhatsApp bahawa Orang Asli di sana sudah pulih dan mampu bermain gitar dan menyanyi seperti biasa.

“Alhamdulillah...ini menunjukkan mereka baik dan memulakan aktiviti secara normal,” katanya yang ditemui selepas menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2019 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, beliau sudah memaklumkan dalam mesyuarat Kabinet bahawa punca air di penempatan orang Asli terbabit perlu diperbaiki berikutan adanya kegiatan perlombongan di kawasan berkenaan.

“Walaupun adanya perlombongan yang tidak mencemarkan namun pada segi visualnya, ia tidak seperti dulu. Jadi kita mahu kerajaan memberi sumber air lebih baik dan meyakinkan.

“Kita sudah minta kementerian berkaitan untuk menangani masalah ini. Mereka (Orang Asli) mesti ada air kerana itu keperluan asas yang perlu diberikan kerana orang Asli pun orang Malaysia juga,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan pencemaran udara di Pasir Gudang, Dr Wan Azizah berkata, pihaknya belum dapat mengenal pasti punca insiden pencemaran udara yang berlaku buat kali kedua di kawasan terbabit.

Beliau berkata, pegawai NADMA berada di sana bagi memantau sampel berkaitan untuk menentukan punca sebenar insiden berkenaan.

“Saya dalam mesyuarat Kabinet hari ini, dimaklumkan perkara terbabit oleh Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin bahawa tiada sebarang petunjuk menunjukkan untuk mengaitkan punca sebenar biarpun semua aspek sudah diperiksa.

“Pelajarnya ramai yang muntah, kita sudah periksa air kencing dan darah, setakat ini tiada kes apa-apa yang boleh dikaitkan,” katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 6:16pm
d