mutakhir

Murid pening, mual kesan tumpahan merkuri

Oleh Mohd Hilmie Hussin

ENAM murid Sekolah Rendah Islam Seri Ar-Rahmah Solok Gaung, Ayer Molek, Melaka, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Ayer Molek selepas mengadu berasa mual dan pening dipercayai akibat kesan tumpahan merkuri daripada termometer yang pecah.

Difahamkan dalam kejadian 11 pagi hari ini, 14 murid tahun lima mengikuti kelas mata pelajaran sains dalam bilik darjah, berikutan sekolah terbabit tidak mempunyai kemudahan makmal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Penolong Kanan Penguasa Bomba Alias Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika ketiadaan guru dalam kelas terbabit.

“Murid dipercayai bermain termometer dan alat itu kemudian pecah selepas jatuh ke lantai, namun kejadian tidak dimaklumkan kepada guru.

“Guru mata pelajaran sains hanya menyedari termometer pecah selepas mendapati alat itu tidak ada diatas meja,” katanya.

Alias berkata, guru berkenaan terus menghubungi bomba dan memindahkan murid ke surau sebuah sekolah menengah berhampiran selepas menyedari berlaku tumpahan merkuri.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada 12.17 tengahari dan tiba di lokasi 11 minit kemudian.

Katanya, operasi membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera dan ambulans Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Mangsa dikuarantin sebelum anggota memulakan operasi nyah cemar yang tamat sepenuhnya pada 12.53 tengah hari.

“Enam murid berusia 8 hingga 11 tahun termasuk dari kelas lain yang mengadu berasa mual dan pening dikejarkan ke Klinik Kesihatan Ayer Molek, bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan selanjutnya,” katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 6:46pm
d