mutakhir

Lemas ketika berenang ke rumah bot

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI ditemui lemas ketika cuba berenang ke arah rumah bot di tengah Sungai Pengkalan Lubuk Buntal, Serdang di Bandar Baharu, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan 3.04 petang dan sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang tiba di lokasi 3.49 petang.

Beliau berkata, mayat Muhamad Nur Iman Mohamad Azam, 19, yang bekerja sebagai peniaga sangkar itu ditemui 4.32 petang dengan bantuan dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani.

“Mangsa dilaporkan berenang di sungai itu dari tepi tebing sekitar 3 petang. Operasi mencari dan menyelamat dilakukan sejurus anggota kami tiba di lokasi.

“Tiga anggota bomba memakai jaket keselamatan melakukan pencarian dengan menggunakan tali yang dipasang di antara daratan dan rumah bot oleh penduduk menggunakan bot sedia ada di pangkalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamadul Ehsan berkata, mayat mangsa ditemui selepas lebih satu jam pencarian dilakukan pada kedalaman kira-kira empat meter dari tebing sungai berkenaan dan mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, mangsa berasal dari Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar, Serdang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Barudin Wariso mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 7:32pm
d