mutakhir

Tiada bahan kimia dikesan - Menteri [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

UJIAN makmal terhadap sampel darah dan air kencing lapan mangsa insiden murid dan pelajar sekolah sekitar Pasir Gudang yang mengalami muntah dan sesak nafas pada Khamis lalu, didapati tidak terkandung sebarang bahan kimia.

Ia menyebabkan punca sebenar insiden itu yang dikaitkan dengan pencemaran udara masih tidak dapat dipastikan dengan tepat.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, Jabatan Kimia secara berterusan mencari apakah bahan kimia yang terdapat dalam darah dan air kencing pesakit tetapi semuanya negatif.

“Jabatan Kimia secara berterusan mencari apakah bahan kimia yang ada dalam urin dan darah yang diambil dari pesakit.

“Bagaimanapun, hasil keputusan ujian makmal mendapati bahawa sampel lapan pesakit yang diambil untuk ujian Urine Cyanide, Blood Cyanide dan VOC adalah negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Menurut Yeo, pihaknya sudah meneliti bahan kimia yang disyaki sebagai bahan percemar tetapi semuanya negatif.

“Kita tidak dapat semua itu dalam sampel urin dan darah untuk pastikan sumber bahan kimia, kalau ia disebabkan oleh bahan kimia tetapi tidak ada.

“Ini berbeza dengan kes Sungai Kim Kim apabila kita memang ada bukti fisiologi. Ada bukti kimia, urin dan darah juga kita jumpa apa kandungan menyebabkan simptom itu tetapi kali ini simptom ada, bukti tiada.

“Unsur kimia yang kita syak, tidak dikesan dalam ujian kita buat,” katanya.

Yeo berkata, insiden kali ini masih belum boleh dikatakan berpunca daripada gas daripada kilang, namun semua tindakan diambil adalah sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kita tidak boleh nak kata insiden ini disebabkan oleh gas toksik dari kilang. Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga cuma kita pastikan apa yang mungkin menjadi punca pencemaran dibersihkan atau mematuhi standard Akta Kualiti Alam Sekeliling,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 8:08pm
d