mutakhir

Derita tersepit

Oleh Siraj Mohd Zaini

LELAKI yang memandu lori simen menanggung kesakitan kira-kira 30 minit akibat tersepit di tempat duduk pemandu selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terbalik di Jalan Kampung Sri Cheding, Jenjarom di Kuala Langat, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari ini, mangsa berusia 36 tahun itu diselamatkan anggota bomba yang tiba ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang dan BBP Banting dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu kenderaan itu.

“Mangsa kemudiannya dibawa dengan ambulans ke Hospital Banting untuk rawatan selanjutnya,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan pada tangan serta anggota badan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan pemandu lori terbabit masih belum membuat laporan polis.

“Kemalangan terbabit tidak mengakibatkan sebarang kehilangan nyawa, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di hospital,” katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 8:45pm
d