mutakhir

Stesen pemantauan bahan cemar bakal dibina

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

STESEN pemantauan bahan cemar udara secara tetap bakal dibina di Pasir Gudang bagi pemantauan kualiti udara secara berterusan sebagai langkah menangani isu pencemaran udara di kawasan itu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, isu pencemaran di Pasir Gudang sudah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan penempatan stesen pemantauan secara tetap itu antara cadangan bagi menangani isu terbabit dalam jangka masa panjang.

“Pasir Gudang adalah tempat industri yang padat yang terdapat sebanyak 2,005 kilang di kawasan ini, 250 daripadanya adalah kilang kimia.

“Oleh sebab itu, kualiti udara di sini sudah tidak berapa baik. Kita bincangkan yang mana kita mahu pastikan untuk jangka masa panjang, kita wujudkan stesen pemantauan berterusan.

“Jika berlaku pembuangan bahan kimia atas gas, kita boleh kesan awal supaya langkah yang lebih cepat dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.

Beliau berkata, satu lagi cadangan bagi tujuan sama adalah bagi mewujudkan zon penampan di Pasir Gudang.

“Jika lihat di sini, kilang dan sekolah sangat dekat. Sekolah adalah golongan risiko tinggi dan kilang tempat yang berisiko tinggi.

“Jadi, ia sangat bahaya. Pembangunan di Pasir Gudang ini sangat pesat, jadi kita akan buat kajian untuk wujudkan zon penampan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kerajaan negeri sudah memutuskan untuk mewujudkan jawatankuasa pemantau khas di kawasan Pasir Gudang bagi memantau segala pemasalahan dihadapi berhubung kualiti udara.

Ditanya mengenai sebuah kilang memproses sisa toksik yang diarahkan membuat pelupusan sisa toksik serta-merta seperti dilaporkan semalam, Mohd Khuzzan berkata, semua kerja pelupusan itu sudah selesai hari ini dan kira-kira 100 tan sisa toksik sudah dihantar untuk dilupuskan di Negeri Sembilan.

“Kita sudah selesai lupuskan semalam dan hari ini iaitu sebanyak 100 tan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Khuzzan berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, tiada pesakit baru dimasukkan ke hospital, menjadikan jumlah terkini yang menerima rawatan adalah seramai enam orang saja.

Menurutnya, Unit Pengurusan Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih memantau tahap kualiti udara dalam radius pengesanan enam kilometer hingga 15 kilometer dari lokasi kejadian sebelum sebarang keputusan berhubung pembukaan semula sekolah dibuat.

“Kualiti udara masih dipantau dan kita akan maklumkan secara spesifik nanti bila sekolah akan dibuka semula.

“Buat masa ini, esok masih ditutup, Jumaat dan Sabtu tidak bersekolah, kemungkinan Ahad dibuka semula, tetapi kita akan maklumkan nanti,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 8:51pm
d