mutakhir

JKR diarah siasat lereng [METROTV]

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

JABATAN Kerja Raya (JKR) negeri diarah menyiasat bahagian atas dan bawah lereng sepanjang Jalan Batu Ferringhi, Georgetown bagi memastikan ia selamat digunakan orang ramai.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata, siasatan itu juga bagi memastikan tahap integriti jalan raya sepanjang kira-kira 15 kilometer (km) yang menghubungkan kawasan utara Pulau Pinang itu terjamin.

“Kerja baik pulih kawasan lereng perlu dibuat sepanjang lereng di Jalan Batu Ferringhi, sekiranya ia didapati tidak selamat. Ini kerana, jalan raya berkenaan sangat sibuk dan penting untuk kawasan utara negeri.

“Selain itu, beberapa syor mitigasi lain juga akan dibuat bagi menjamin keselamatan jalan ini,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini.

Semalam, empat buruh binaan warga Myanmar maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah di Jalan Batu Ferringhi pada 9.25 malam.

Keempat-empat mangsa diupah pemilik resort untuk membina tembok penahan tanah selepas mendapati berlaku pergerakan tanah, sejak seminggu lalu.

Semua mangsa ditemui antara 11.15 malam hingga 3.35 pagi dengan mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat.

Dalam pada itu, Kon Yeow menegaskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak pernah menerima sebarang permohonan atau pelan untuk melanksanakan kerja pembinaan tembok penahan tanah di kawasan runtuhan.

“Pemilik resort terbabit membina tembok berkenaan di atas tanah miliknya selepas tembok sedia ada retak, selain keseluruhan proses pembinaan dilakukan tanpa pembabitan pakar.

“Mungkin cara kerja dilakukan menyebabkan pergerakan tanah walaupun tak hujan, selain didapati keadaan tanah di situ lemah hingga menyebabkan ia runtuh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilik resort terbabit perlu memohon kebenaran MBPP sekiranya mahu meneruskan kerja pembinaan tembok penahan tanah itu.

“Pemilik resort juga bertanggungjawab ke atas keselamatan bangunannya dan perlu memastikan pemantauan di kawasan lereng berhampiran dibuat menggunakan khidmat pakar.

“Kita juga tidak mempunyai maklumat mengenai latar belakang semua mangsa yang maut dan biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang, mengesahkan pembinaan tembok penahan tanah dilakukan pemilik resort itu dibuat secara haram kerana tidak memiliki kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

“MBPP juga akan mengeluarkan notis pemberhentian kerja tanah mengikut Seksyen 70 (A) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 akan dikemukakan kepada pemilik resort, selain memastikan pemilik premis akan diambil tindakan perundangan sewajarnya,” katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 9:24pm
d