mutakhir

Syarat ketat sisa import

Oleh Skuad Khas Harian Metro

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan undang-undang baharu yang lebih ketat terhadap kemasukan sisa pepejal dari luar negara oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) diakui berjaya menyekat kemasukan sampah ke negara ini.

Penolong Pengarah (Unit Kemudahan dan Permit Import) JPSPN Wemi Kalsuna Katerun mengakui sebelum ini ada syarikat yang bertindak mengimport sisa pepejal berisi sampah sehingga menjejaskan alam sekitar.

Menurutnya, keadaan itu bagaimanapun sudah tidak berlaku selepas syarat kemasukan diketatkan dan pemeriksaan menyeluruh di pelabuhan diperhebatkan semua agensi terbabit.

“Jika dulu ada syarikat yang mengimport sisa pepejal bersama sampah. Namun selepas undang-undang diperketatkan tiada lagi kemasukan sisa domestik dari luar negara dikesan.

“Berdasarkan maklumat diterima, syarikat pengimport yang memiliki permit import (AP) kini mengimport plastik kitar semula yang lebih berkualiti dengan harga yang lebih mahal berbanding sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Wemi turut mengesahkan setakat ini jumlah syarikat yang diberikan AP oleh JPSPN masih kekal 62 syarikat namun jumlah itu mungkin bertambah pada masa akan datang selepas syarat yang dikenakan dipatuhi syarikat pemohon.

Katanya, proses mendapat kelulusan kini sudah diperketatkan kerana hanya syarikat yang mematuhi syarat akan diberikan kebenaran mengimport.

“Jumlah pengimportan sampah dari luar negara bergantung kepada kapasiti mesin. Jika mesin lebih besar dimiliki maka jumlah sampah yang dapat diimport juga bertambah asalkan tidak melebihi 70 peratus,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 5:31am
d