mutakhir

Koleksi komik RM370,000

Nor ‘Asyikin Mat Hayin

SHAH ALAM: Mohd Fariz Helmi Husain, 35, memiliki minat luar biasa terhadap komik dan dia mengumpul 21,237 naskhah komik membabitkan lebih 100 tajuk komik Hong Kong (Manhua) serta lebih 60 tajuk komik Jepun (Manga) sejak 1993.

Semua koleksi komik berkenaan dianggarkan bernilai RM370,000.

Mohd Fariz menjaga koleksi komik kesayangannya dengan baik biarpun ada yang sudah berusia 25 tahun.

Malahan, semua komiknya tersusun rapi dalam rak selain dibungkus menggunakan plastik lut sinar.

Menurut Mohd Fariz, antara judul komik Jepun yang dimilikinya ialah The Blades of the Immortal, Vinland Saga, Slamdunk, Dragon Quest, Bleach, 20th Century Boys dan Hunter X Hunter.

“Komik Hong Kong pula antaranya membabitkan Pendekar Laut, Wira Golok, Pendekar Sakti, Juara Jalanan, Senjata Misteri dan Kisah Tiga Negara.

“Saya mengumpul komik kerana ia memberi kepuasan selepas selesai dibaca. Mengumpul komik bukan hobi mudah, ia memerlukan minat, usaha, pengorbanan dan konsistensi.

“Ini kerana setiap komik mengambil masa bertahun-tahun untuk lengkap.

“Contohnya komik Mutiara Naga (Dragon Ball) yang mana jilid satunya diterbitkan pada 1995 dan tamat pada jilid ke-43 pada 1999,” katanya.

Mohd Fariz yang bertugas sebagai ketua jabatan di gedung tekstil di ibu negara berkata, koleksi yang dianggap paling istimewa ialah komik yang sudah tidak diterbitkan lagi dan sukar ditemui sekarang Jejak Wira serta Dendam Kesumat.

Ditanya apakah koleksi komik pertamanya, Mohd Fariz berkata, ia adalah komik Doraemon berharga RM3.50 yang dibeli pada 1993.

“Saya beli komik ini (Doremon) ketika berusia lapan tahun dengan berjalan kaki ketika pulang dari sekolah.

“Keinginan membeli komik sangat tinggi sehingga saya sanggup menyimpan wang saku 40 sen pemberian ayah semata-mata untuk membeli komik,” katanya.

Menurut Mohd Fariz, koleksi komiknya turut menjadi hiasan tambahan dalam rumah dan menarik tumpuan tetamu setiap kali berkunjung.

Katanya, semua komik itu adalah koleksi peribadi namun ada kalanya, dia menjual komik yang dimiliki lebih daripada satu kepada pengumpul komik lain.

“Koleksi komik ini boleh dikategorikan sebagai barangan berharga kerana selain sukar ditemui, harganya mencecah ratusan ringgit setiap naskah bergantung kepada usia,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 6:00am
d