mutakhir

IPD Ipoh gempur Buntong

Oleh Muhammad Apendy Issahak

DUA puluh enam individu disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah sekitar Buntong, Ipoh diberkas dalam Op Bersepadu Khas Buntong, semalam.

Dalam operasi bermula 6.30 petang hingga 12 tengah malam tadi, polis menahan suspek berusia 18 hingga 60 tahun dan merampas sejumlah dadah dipercayai syabu.

Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ipoh dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ipoh, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Perak dan anggota Balai Polis Menglembu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, operasi berkenaan adalah antara usaha pihaknya dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah sekitar Buntong.

“Suspek ditahan membabitkan 23 lelaki dan tiga wanita, sementara itu dadah disyaki syabu dirampas adalah seberat 8.82 gram dianggarkan bernilai RM1,200 mengikut harga pasaran.

“Serbuan dan pemeriksaan dijalankan adalah usaha berterusan bagi memastikan aktiviti dadah dapat dibanteras,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Sek 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dadah 1983.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 3:51pm
d