mutakhir

Buru penunggang 'helmet' kuning

Oleh Fardy Bungga

POLIS meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan suspek utama kes samun sebuah kedai kek di Villa Tropikana, Jalan Penampang Bypass, Penampang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, berdasarkan keterangan mangsa dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pihaknya berjaya mendapatkan lakaran wajah suspek.

Katanya, dalam kejadian 9 malam, suspek bersenjatakan sebilah parang bertindak agresif untuk menakutkan pekerja yang bertugas.

“Suspek memakai topi keledar warna kuning mengambil mesin juruwang dan melarikan diri dengan menunggang motosikal.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera, mesin juruwang berharga RM3,000 dilarikan suspek mengandungi wang tunai RM300,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Mohd Haris berkata, pihaknya tidak menolak suspek terbabit dalam dua lagi kes samun dilaporkan di Bundusan dan Donggongon berdasarkan modus operandi digunakan serta fizikalnya.

“Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Mohamad Hafiz Yaacob di talian 013-4046617.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana merompak menggunakan senjata,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 4:30pm
d