mutakhir

Gagal bayar denda, peniaga rokok dipenjara

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PENIAGA didenda sebanyak RM100,000 oleh Mahkamah Majistret Kemaman hari ini, kerana memiliki pelbagai rokok seludup bernilai RM92.68 pada Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Rogayah Musa, 40, terpaksa meringkuk di Penjara Bentong, Pahang selepas gagal menjelaskan denda terbabit.

Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri sebelum itu menetapkan tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Nik Mohd Tarmizie selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Mengikut kertas pertuduhan, Rogayah didakwa memiliki pelbagai jenama rokok seludup bernilai RM92.68 membabitkan cukai berjumlah RM186.40 di Bandar Seri Bandi pada 8 malam, 13 Mac lalu.

Semua rokok itu adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) 2018.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Terengganu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 7:09pm
d