mutakhir

Bomba bantu urus jenazah lelaki 300kg

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

DISEBABKAN obesiti, jenazah seorang lelaki seberat 300 kilogram (kg) diangkut menggunakan jentera bomba untuk dikebumikan, semalam.

Khidmat jentera bomba itu digunakan susulan keluarga lelaki berkenaan mengalami masalah untuk mengusung jenazahnya dari Hospital Ampang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan, Mohd Faizal Md Zain berkata, seorang pegawai dan lapan anggota terbabit dalam khidmat khas berkenaan bermula 9 pagi hingga 1.50 tengah hari.

Katanya, bagi khidmat khas itu, BBP Pandan menggunakan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah lori Hicom Handalan.

“Sebenarnya ini kali kedua kami memberi bantuan kepada keluarga arwah.

“Sebelum ini, BBP Pandan ada membantu membawanya pulang ke rumah di Lembah Jaya Selatan selepas mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semalam BBP Pandan menerima panggilan pada 9 pagi daripada keluarga arwah yang meminta bantuan selepas lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat radang paru-paru.

Katanya, sebelum itu, lelaki itu dibawa ke Hospital Ampang oleh sepasukan anggota BBP Ampang pada 9 malam Isnin lalu.

“Sehari selepas dimasukkan ke hospital, lelaki itu disahkan meninggal dunia.

“Jadi, semalam pihak BBP Pandan membantu membawa jenazahnya dari Hospital Ampang ke Masjid Al Aman di Lembah Jaya Ampang bagi pengurusan jenazah dan kemudian ke Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana bagi urusan pengebumian,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 10:48pm
d