mutakhir

Kucing jadi inspirasi terbit buku BI

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

SUAMI isteri bukan sahaja menyelamatkan lebih 30 kucing terbiar, malah menggunakan haiwan itu sebagai daya penarik di dalam buku diterbitkan mereka bagi memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan murid dan pelajar miskin di Terengganu.

Satiman Jamin, 49, dan isterinya, Chaizani Mohd Shamsuddin, 49, membelanjakan lebih RM1,000 sebulan bagi memastikan 35 kucing terbiar diselamatkan memperoleh makanan dan rawatan kesihatan sepatutnya.

Satiman berkata, dia mula memelihara kucing pada 2012 selepas seekor kucing bunting dan diberi nama Socks menyelinap masuk ke rumahnya untuk beranak.

“Bermula dari situ, saya berasa simpati dengan nasib kucing terbiar dan rasa bertanggungjawab menyelamatkan kucing terbiar dengan setiap seekor kucing di sekitar rumah diselamatkan dan diberikan makanan serta rawatan.

“Kucing terbiar berpenyakit dibawa ke klinik veterinar terlebih bagi mendapatkan rawatan termasuk suntikan vaksin sebelum menjaganya.

“Selepas lapan tahun memelihara kucing terbiar itu, rasa sayang terhadap haiwan comel itu semakin mendalam sehingga saya sanggup berhabis duit semata-mata mahu memastikan semua kucing di bawah jagaan memperoleh makanan dan rawatan kesihatan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tok Jembal di Kuala Nerus, semalam.

Satiman berkata, memandangkan isterinya bertugas sebagai guru BI di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), timbul kesedaran kepada mereka untuk menarik minat murid dan pelajar lemah dalam BI untuk mempelajari bahasa itu melalui kucing peliharaannya itu.

“Hasil daripada idea itu, kami menerbitkan buku Meowglish mengandungi teknik bertutur menggunakan BI yang mudah dan senang difahami.

“Antara watak utama di buku itu ialah kucing kesayangan kami dipanggil Yaya. Pelbagai dialog pertuturan Yaya bersama kucing lain dimuatkan di dalam buku berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 100 unit buku Meowglish diserahkan secara percuma kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kemaman pada Mac lalu.

Katanya, mereka seronok apabila mendapat reaksi positif daripada murid dan guru BI di sekolah mengenai buku berkenaan.

“Di samping memberi manfaat kepada masyarakat, buku itu memberi peluang kepada kami untuk mengabadikan gambar kucing kesayangan di dalam buku.

“Yaya ialah anak kepada Socks dan ia sudah berusia tujuh tahun pada tahun ini manakala ibunya pula berusia 12 tahun,” katanya.

Chaizani pula berkata, sebelum menerbitkan buku itu pada 4 Februari lalu, dia dan suami merakam gambar kucing serta mencipta dialog di antara kucing peliharaan itu sebelum dimuat naik ke media sosial.

“Ramai rakan memberi reaksi positif mengenainya di media sosial sehingga tercetus idea untuk menerbitkan buku itu.

“Kami harap usaha itu dapat mendorong murid dan pelajar berasa minat mempelajari BI melalui bahan bacaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 12:42am
d