mutakhir

'Kami tak dipaksa'

Oleh Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Seramai 60 Guru Agama Orang Asli yang dilantik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) kecewa dengan dakwaan pihak tertentu yang kononnya kaum itu memeluk Islam kerana paksaan.

Sebaliknya, mereka terutama di kawasan pedalaman daerah ini memeluk Islam atas kerelaan sendiri selepas berasakan tenang apabila membaca al-Quran dan menunaikan solat.

Ketua Guru Agama Orang Asli, Arif Rami, 49, berkata, bukan perkara baharu bagi kaum itu memeluk Islam, malah membabitkan puluhan tahun dan mereka selesa dengan keadaan itu.

Oleh itu, beliau mempersoalkan motif sebenar pihak terbabit menimbulkan isu itu sedangkan Orang Asli daripada empat kaum memilih Islam sebagai agama paling baik dalam hidup masing-masing.

“Purata kaum itu termasuk Temiar, Batek, Jahai dan Mendriq merasakan sendiri ketenangan fikiran serta hatinya sebaik melafazkan dua kalimah syahadah.

“Begitu juga cara kehidupan dalam Islam yang dirasakan lebih bersih dan mempunyai sifat terpuji jika kita patuhi suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangannya.

“Saya sangat terkejut apabila terbaca isu Orang Asli peluk Islam diviralkan dalam media sosial dan tak tahu apa tujuan sebenarnya,” katanya yang juga Imam Masjid Al-Hidayah, Pos Hendrop ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Guru Agama Maik Kampung Aring 5, Mohd Fadzli Mahmok pula berkata, dia membantu Maik untuk program dakwahnya di samping mengajar Orang Asli memeluk Islam dan mengaji al-Quran.

Katanya, semua perkampung itu ditempatkan guru agama untuk bimbingan dan menarik lebih ramai kaum itu memeluk Islam.

“Ada pihak tertentu cuba bangkitkan isu itu mungkin bermotifkan politik dan cuba mengeruhkan perpaduan kaum itu di serata tempat,” katanya.

Syaimi Abdul Hadi@Hek, 38, berkata, mereka memeluk Islam kerana menerima hidayah daripada Allah SWT.

Katanya, ia selepas mereka mendengar ceramah agama Islam dan menerima petunjuk untuk kehidupan dunia dan akhirat.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 5:30am
d