mutakhir

Ayam pun hang kebas

Oleh Nor Farhani Che Ad

TINDAKAN tiga lelaki mencuri 400 ekor ayam mentah di sebuah kedai yang terletak di pasar Taman Kempas, Sungai Petani dan menjualnya semula membawa padah apabila dua daripada mereka ditahan polis semalam.

Lelaki berusia 21 dan 26 tahun itu ditahan di sebuah kedai memproses ayam di Guar Chempedak 6.30 pagi ketika mereka menyusun ayam yang dicuri di pasar itu untuk dijual.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, kegiatan mencuri ayam mentah itu disedari peniaganya 4 pagi semalam selepas mendapati kedainya gelap sedangkan lampu premis itu menyala ketika ditutup.

“Peniaga itu mendapati fius elektrik dicabut dan mengesyaki kedainya dipecah masuk sebelum menyedari ratusan ekor ayam mentah di kedai itu hilang.

“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kereta pacuan empat roda berhenti di hadapan kedai sebelum tiga lelaki bertopeng mengambil ayam berkenaan 2.58 pagi dan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Video terbabit juga tular di media sosial sejak semalam yang memaparkan tiga lelaki memakai penutup muka sedang mengalihkan ayam mentah dari tong ais ke pacuan empat roda.

Dalam pada itu, Adzli berkata, ketika tangkapan dilakukan polis mendapati kenderaan yang disyaki digunakan ketika mencuri ayam mentah itu berada bersebelahan kedai memproses ayam di Guar Chempedak.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 30 ekor ayam mentah berada di meja manakala 15 ekor lagi di bonet belakang pacuan empat roda.

“Selain itu, terdapat 355 ekor ayam berada di dalam dua tong ais kuning di kedai sama,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku semua ayam itu dicuri di sebuah pasar di Taman Kempas bersama seorang lagi rakan mereka yang masih bebas.

Katanya, semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan menceroboh.

“Kita sedang menjejaki seorang lagi suspek yang terbabit dalam kes ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 8:59am
d