mutakhir

Pelajar alami simptom keresahan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan enam kanak-kanak dan remaja yang dirawat kerana mengalami gejala sesak nafas di Pasir Gudang, Johor, dikesan mengalami simptom keresahan (anxiety).

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka adalah antara 10 kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun yang dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru daripada lapan sekolah berbeza.

Beliau berkata, simptom keresahan itu didapati susulan saringan mental dijalankan dengan menggunakan soalan Depression Anxiety Stress Scales (DASS) terhadap semua 10 pesakit terbabit.

“Kami dapati tiga daripada mereka pernah terbabit dalam insiden Sungai Kim Kim sebelum ini dan dalam enam individu itu, seorang mempunyai komorbid iaitu bronchial asthma.

“Semua enam pelajar ini akan diberikan susulan dan dirujuk kepada pakar psikiatri kanak-kanak bagi mengetahui punca sebenar gejala terbabit,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, berdasarkan sejarah pendedahan, manifestasi gejala serta penilaian psikososial dan taburan sekolah yang terbabit tiada kejadian ‘mass psychogenic hysteria’ yang dilaporkan.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya juga akan melaksanakan

aktiviti intervensi psikologi bersama Pejabat Pendidikan Daerah dan kaunselor di lima sekolah akan dilaksanakan Ahad ini.

Menurutnya, secara kumulatif, 235 individu terdiri enam anggota kesihatan dan 229 orang awam sudah menerima khidmat bantuan awal psikososial (PFA).

“Seramai 222 orang sudah menjalani sesi PFA individu dan 13 lagi menjalani sesi PFA kelompok.

“Orang ramai dinasihatkan mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat jika mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

“Klinik Kesihatan Pasir Gudang dibuka bagi menerima dan merawat lain-lain mangsa yang mungkin terkesan susulan kejadian ini,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya merekodkan 748 kumulatif kes kejadian sesak nafas di Pasir Gudang setakat ini iaitu 709 orang menerima rawatan pesakit luar dan 39 dimasukkan ke wad.

“Empat kes baharu dilaporkan dan semuanya dirawat di Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

“Tiada kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan.

“Buat masa ini, keputusan sampel klinikal pesakit bagi ujian kimia seperti hydrogen cyanide, cyanide, hydrogen thiocyanide dan volatile organic substances adalah negatif,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 12:32pm
d