mutakhir

Terengganu tak haramkan PUBG

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

KERAJAAN Terengganu tidak berhasrat mengharamkan permainan dalam talian, Player Unknown’s Battle Grounds (PUBG) seperti dilakukan kerajaan Aceh, Indonesia, yang didakwa banyak memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, setiap teknologi, walaupun boleh membawa keburukan tidak boleh semudah-mudahnya diharamkan, sebaliknya melihat kepada penggunaan.

Di Terengganu, katanya, undang-undang adalah pendekatan terakhir kerana tidak boleh setiap perkara menggunakan saluran undang-undang dan mahkamah.

“Sebaliknya pendekatan pertama adalah melalui pendidikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Ini bukan bermakna kita menolak teknologi kerana yang penting adalah untuk melindungi masyarakat supaya mereka mempunyai jati diri dan kesedaran supaya tidak menggunakan ruang yang ada untuk melakukan perkara bercanggah dengan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Kebangsaan: Jenayah Syariah Di Alam Siber di Kuala Terengganu, semalam.

Yang turut hadir Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd dan Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah negeri Mustafar Hamzah.

Baru-baru ini, Majlis Permusyawaratan Ulama (MPU) Aceh mengeluarkan fatwa mengharamkan permainan PUBG, serta permainan sejenisnya kerana permainan dalam talian itu boleh mengubah perilaku dan kesihatan seseorang.

Satiful Bahri berkata, kerajaan negeri sudah berbincang dan melantik jawatankuasa ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat dalam isu itu.

“Memupuk pendidikan kepada rakyat bukanlah tanggungjawab yang perlu diletakkan di bahu kerajaan mahupun pengamal undang-undang dan pihak berkuasa, sebaliknya tanggungjawab bersama.

“Masyarakat juga perlu faham bahawa tugas melaksanakan syariah Islam juga tanggungjawab bersama. Jadi kesedaran perlu dipupuk supaya peringkat penguatkuasaan undang-undang hanyalah dijadikan sebagai jalan terakhir,” katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 4:07pm
d