mutakhir

'Jangan boikot durian timbang' - FAMA

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

“JANGAN memboikot peniaga yang jual durian mengikut kaedah timbang,” kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) , Datuk Ahmad Ishak.

Katanya, strategi pemasaran sudah berubah yang mana penentuan harga berdasarkan ‘timbang kilo’ adalah lebih kompetitif.

“Sebagai contoh, dulu harga durian kampung di ladang terlalu rendah dan ia dijual secara pukal kepada peraih.

“Namun apabila peladang memasarkan durian dengan harga jualan melalui timbangan adalah lebih baik kerana adil disebabkan menggunakan sistem pengiraan yang betul,” katanya ditemui selepas melawat gerai peniaga dalam Program My Best Buy (MBB) dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di perkarangan Ibu Pejabat FAMA Selayang hari ini.

Hadir sama Pengerusi FAMA Ishak Ismail.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kempen mengajak orang ramai memboikot jualan durian secara timbang di media sosial sebagai tanda protes.

Perbuatan itu dipercayai disebabkan harga durian boleh mencecah sehingga RM100 sebiji kerana kulit buah yang berat berbanding isinya yang sikit.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, harga bagi setiap sekilogram raja buah itu bergantung pada permintaan dan penawaran.

“Sebagai pembeli, kita seharusnya bijak dengan membeli ketika musim buah kerana harganya lebih rendah.

“Selain itu, dengan pembelian secara timbangan pembeli boleh meminta penjual mengupas durian bagi memeriksa sama ada durian terbabit mempunyai isi yang baik atau sebaliknya berbanding membeli secara pukal,” katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 4:23pm
d