mutakhir

Kegiatan palsu i-Kad dan PLKS dibongkar

Oleh Hasbi Sidek

HANYA perlu membawa gambar pasport, maklumat diri, membuat bayaran sebanyak RM200 dan kemudiannya dalam masa 20 minit, i-Kad palsu berjaya diproses.

Malah, dalam masa satu hari saja sindiket pemalsuan dokumen warga asing di sebuah premis dekat Taman Perindustrian Belmas Johan di Rawang berjaya menghasilkan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada pelanggan yang ‘kosong’.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket di premis yang berselindung di sebalik kedai gambar itu diserbu Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Ops Serkap dan Ops Gegar, malam tadi.

Serbuan turut dilakukan di sebuah pusat refleksologi berdekatan bermula jam 7.30 malam dan sekumpulan wanita warga asing cuba melarikan diri serta cuba menyerang pegawai JIM menggunakan kasut tumit tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Mohamad Fauzi Md Isa berkata, hasil pemeriksaan di dua premis berkenaan menahan sembilan warga asing dan berjaya membongkar kegiatan pemalsuan dokumen pekerjaan warga asing berkenaan.

“JIM mengadakan operasi di sekitar Taman Perindustrian Belmas Johan dengan memeriksa dua premis iaitu kedai gambar dan pusat refleksologi.

“Kedai gambar ini disyaki menjadi tempat operasi sindiket pemalsuan dokumen untuk warga asing.

“Hasil pemeriksaan di premis itu, kami berjaya menahan tiga lelaki Bangladesh, dua lelaki warga Vietnam, seorang lelaki dan dua wanita Indonesia.

“Selain itu, dua wanita warga Vietnam turut ditahan di pusat refleksologi dan spa kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah ketika pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan serbuan turut merampas dua komputer, dua mesin cetak, pemotong kad, kamera dan beberapa peralatan lain untuk siasatan lanjut kerana disyaki digunakan untuk memalsukan dokumen.

“Siasatan awal mendapati lelaki warga Bangladesh yang memproses dan menyediakan dokumen imigresen palsu iaitu i-Kad dikeluarkan dalam tempoh masa 20 minit dan pelekat PLKS dalam tempoh masa sehari.

“Pemohon hanya perlu membawa sekeping gambar berukuran pasport dan maklumat pasport tanpa memerlukan dokumen asal.

“Mereka hanya berurusan dengan pelanggan warga asing yang tertentu sahaja bagi mengelakkan identiti diketahui.

“i-Kad palsu yang dikeluarkan mempunyai ciri-ciri dari segi tulisan, ukuran dan maklumat seperti kad asal.

“Butiran majikan majikan yang digunakan pula adalah palsu dengan tujuan untuk mengaburi agensi penguatkuasaan memandangkan warga asing boleh menggunakan i-Kad sebagai dokumen pengenalan diri.

“Bayaran dikenakan dari RM200 hingga RM300 untuk menyediakan i-Kad dan PLKS palsu.

“Kesemua proses ini dijalankan di kedai gambar berkenaan bagi mengaburi aktiviti pemalsuan yang mereka lakukan,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk tujuan siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 5:11pm
d