mutakhir

Ajal dihempap traktor

Oleh Mary Victoria Dass

PEKERJA lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun maut dihempap traktor yang jatuh dari tingkat satu bahagian pemunggahan di sebuah kilang memproses ayam di Batu 10, menghala Parit Yaani, Batu Pahat hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 10.38 pagi.

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng bersama lima anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati ada seorang lelaki dewasa tersepit di bawah traktor itu.

“Melihat keadaan itu, kami mengambil langkah utama untuk menyelamatkan mangsa yang tersepit itu.

“Anggota kami mengambil masa dua minit bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan jengkaut untuk mengalihkan traktor terbabit.

“Siasatan mendapati kenderaan berat itu jatuh dari tempat pemunggahan ayam dan terbalik sebelum menghempap mangsa,” katanya.

Menurutnya, pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 5:16pm
d