mutakhir

Potensi risiko baharu Boeing 737 MAX

Oleh BERNAMA

PIHAK berkuasa Amerika Syarikat menemui potensi risiko baharu pada pesawat Boeing 737 MAX ketika ujian simulator, lapor agensi berita Anadolu.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) pada Rabu mengeluarkan kenyataan menyatakan ia sedang memantau keadaan.

“FAA hanya akan menarik balik larangan terbang untuk pesawat berkenaan apabila kami merasakan ia selamat untuk terbang,” menurut kenyataan itu.

Pesawat paling laris Boeing itu dilarang terbang di seluruh dunia selepas dua nahas mengorbankan ratusan penumpang dan kru.

Pada 10 Mac lalu, sebuah pesawat Boeing 737 MAX penerbangan ET302 Ethiopian Airlines terhempas sejurus berlepas dari lapangan terbang Addis Ababa, mengorbankan semua 157 penumpang dan anak kapal.

Model pesawat yang sama turut terhempas dekat Jakarta, Indonesia pada Oktober tahun lalu.

Semua 189 orang di atas kapal terbang Lion Air penerbangan JT610 terkorban.

Banyak negara termasuk Amerika, Turki, Rusia dan Iran mula mengeluarkan larangan terbang terhadap pesawat model berkenaan di ruang udara masing-masing.

Boeing, yang masih yakin terhadap tahap keselamatan kapal terbang terbabit, sebelum ini berkata, masalah berkenaan akan dapat diatasi menerusi langkah menaik taraf perisian komputer.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 7:43pm
d