mutakhir

Gas 'ganjil' dikesan di Pasir Gudang [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) mengesahkan kehadiran sejenis gas dikenali ‘methyl mercaptan’ pada insiden sesak nafas dan gangguan kesihatan di Pasir Gudang, Johor, ketika ini.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, gas baharu itu dikesan menerusi pemantauan bacaan gas dibuat ketika insiden gangguan kesihatan berkenaan.

“Kehadiran gas ini adalah satu keganjilan (anomaly).

“Akibat persekitaran udara tepu di Pasir Gudang, sebarang anomaly seperti ini akan memberi kesan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan penghidap asma,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut mengesan dua gas sama pada insiden di Sungai Kim Kim, baru-baru ini iaitu Acrylonitrile dan Acrolein.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga gas itu tidak dikesan dalam sampel darah dan air kencing pesakit.

“Ketika ini, Pasir Gudang mempunyai 2,005 kilang berlesen dan 250 darinya adalah kilang berasaskan bahan kimia.

“Kementerian sudah mengambil langkah segera untuk melupuskan faktor penyumbang kepada kehadiran gas berkenaan dan meneruskan usaha penguatkuasaan serta pemantauan ke atas kilang berasaskan bahan kimia di sekitar Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata, secara amnya, pembangunan Pasir Gudang tidak lestari memberi kesan jangka panjang negatif terhadap alam sekitar.

Katanya, kepesatan pembangunan dan kepadatan industri kimia tinggi di Pasir Gudang menjadi penyumbang utama kepada impak kapasiti muatan (loading capacity) persekitaran termasuk udara, tanah dan sungai.

“Pembangunan tidak lestari ini menyebabkan alam sekitar menjadi tepu dengan pelbagai gas atau wap terampai di udara, pelepasan afluen tidak dikawal rapi di perparitan dan saliran, sekali gus menyebabkan persekitaran menjadi tidak stabil dan amat sensitif.

“Pembangunan Pasir Gudang tidak lestari menyebabkan ketiadaan zon penampan (buffer zone) antara industri berasaskan bahan kimia dengan kawasan sekolah, perumahan dan pusat aktiviti masyarakat menyebabkan penduduk Pasir Gudang terdedah kepada risiko bencana kimia,” katanya.

Beliau berkata, ketiadaan zon penampan atau buffer zone menyebabkan terdapat sekolah yang kedudukannya amat dekat dengan kilang berkenaan.

Beliau berkata, kementerian sudah merangka beberapa langkah segera bagi mengatasi isu kelestarian itu termasuk mengadakan analisis ‘loading capacity’ dan buffer zones bagi mengurangkan risiko bencana bahan kimia.

“Kami akan mewujudkan sistem untuk menentukan ‘carrying capacity’ (udara di Pasir Gudang dengan menggunakan kaedah Air Dispersion Modelling (Model Penyebaran Udara) seperti mana yang diamalkan di negara negara maju.

“Selain itu, kami akan membina stesen pencerapan gas automatik yang dapat memberi amaran bencana kimia lebih cekap dan pantas, sekali gus membantu pihak berkuasa untuk bertindak lebih proaktif.

“Pasir Gudang akan menjadi kawasan industri berat pertama mempunyai sistem pemantauan kualiti persekitaran otomatik di negara ini,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 9:31pm
d