mutakhir

Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 bulan depan

Oleh BERNAMA

LOGO Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Tun Dr Mahathir Mohamad bulan depan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Menurutnya, segala persiapan TMM 2020 sama ada di dalam dan luar negara sedang rancak dijalankan.

“Bagi merancakkan lagi kempen TMM 2020, kita akan lancar logo tak berapa lagi... boleh dikatakan persiapan sebanyak 60 peratus telah dilakukan, kita juga telah menyertai antaranya World Travel Market dan Arabian Travel Market,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pesta Pelancongan Kebudayaan dan Sukan Dua Negara Malaysia-Thailand 2019 di Narathiwat, malam tadi.

Turut hadir Gabenor Narathiwat, Thailand Ekkarat Leesen.

Terdahulu , Mohamaddin dalam ucapannya berkata acara tahunan itu merupakan platform terbaik bagi Malaysia dan Thailand untuk mempromosikan kepelbagaian budaya dan tarikan di Narathiwat.

“Malaysia dan Thailand yang merupakan anggota ASEAN, menikmati hubungan dua hala yang serat dan berkongsi hubungan dua hala yang kukuh dalam pelnagai bidang seperti sukan, pelancongan, budaya dan kesinambungan serta pembangunan sosio-ekonomi di kawasan sempadan bersama, ” tambah beliau.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung cadangan membina bangunan 21 tingkat di kawasan Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, beliau berkata, ia belum diputuskan.

“Tempat ini belum diroboh dan projek yang di utarakan ini pun belum dibawa serta diluluskan kabinet,” katanya.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya merancang membangunkan bangunan pentadbiran di atas kawasan MaTiC.

Projek bangunan 21 tingkat bernilai RM255 juta ringgit itu dilihat menjejaskan bangunan lama MaTiC bersama Dewan Tunku Abdul Rahman di situ yang dikategorikan sebagai Warisan Kebangsaan pada 2018, menurut laporan itu.

Ia diluluskan kerajaan terdahulu pada 2017 namun statusnya masih tergantung setelah kemenangan Pakatan Harapan pada Mei 2018.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 10:57am
d