mutakhir

Cuti paterniti kurangkan `stress' isteri - Hannah Yeoh

Oleh Balqis Jazimah Zahari

CUTI paterniti tiga hari bagi pekerja swasta penting bagi memberikan sokongan sekali gus mengurangkan ‘stress’ atau tekanan kepada isteri yang baharu bersalin, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

“Sebenarnya tiga hari ini adalah sangat asas. Dalam tempoh itu kadang-kadang ibu belum ‘discharge’ dari hospital terutama yang bersalin secara pembedahan.

“Jadi keperluan dan nilai cuti paterniti itu tidak boleh dinilai daripada segi kewangan sahaja. Isu keruntuhan rumah tangga adalah berpunca daripada ‘stress’ apabila satu sahaja daripada penjaga perlu memikul tanggungjawab,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Konvokesyen dan Penyampaian Sijil Perguruan Pendidikan Khas Persatuan Untuk Insan Bermasalah Intelek (PUIBI) Perak serta penyampaian sijil penghargaan kepada majikan pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) di Dewan Sekolah Semangat Maju, Kampung Tawas di Ipoh, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar yang juga Pengerusi Pertubuhan Badan Amal Dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan Perak (KASIH Perak), Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi.

Hannah mengulas bantahan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) terhadap cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja lelaki sektor swasta apabila isterinya melahirkan anak.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan dilaporkan berkata, pemberian cuti wajib tiga hari kerana isteri bersalin itu akan memberi kesan terhadap kos operasi syarikat.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, akan meneruskan siri perbincangan dengan semua pihak berkaitan, termasuk majikan, bagi mendapatkan kata sepakat berhubung cadangan itu.

Hannah berkata, bagi wanita yang bersalin secara pembedahan, sokongan daripada keluarga terutama suami sangat diperlukan termasuk bagi mengurangkan rasa kesakitan selepas proses pembedahan itu.

“Dua hari pertama memang ia (ibu) sakit untuk berjalan dan kalau ibu kena bersalin kemudian dia mempunyai anak yang kecil yang hendak dijaga (maka) dia tidak dapat bertahan.

“Jadi, tiga hari pertama sangat penting untuk memberi sokongan kepada kelahiran anak, saya berharap semua pihak mempertimbang impak terhadap sokongan yang diperlukan daripada keluarga,” katanya.

Beliau berkata, maklum balas rasmi terhadap sokongan perkara itu sudahpun diberikan kepada Kementerian Sumber Manusia yang mengemukakan cadangan berkenaan.

“Bagi sektor awam sudah pun mempunyai cuti paterniti, tetapi sekarang kepada pekerja sektor swasta mereka mempunyai kekangan daripada pihak majikan (yang membantah).

“Oleh kerana itu, saya merasakan kerjasama itu perlu berterusan dan saya minta pihak majikan mempertimbang ‘stress’ yang diterima terhadap perkahwinan itu apabila ibu tidak mendapat sokongan pada tiga hari pertama selepas bersalin,” katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 3:15pm
d