mutakhir

Kau dah kenapa

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI terpinga-pinga apabila tiba-tiba ditumbuk dan disepak dalam kejadian di Jalan Gong Pasir, Dungun semalam.

Kejadian berlaku 5 petang ketika mangsa berusia 38 tahun berada berhampiran sebuah surau di kawasan itu sebelum didatangi lelaki dikenali bersama sepupunya.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dua lelaki memaklumkan mahu berjumpa mangsa dan sebaik melihat mangsa, suspek dikenali bertindak mencengkam leher dan menumbuk muka mangsa.

Katanya, suspek lain bertindak menyepak kaki mangsa sebelum kedua-duanya beredar meninggalkan tempat kejadian.

“Mangsa memaklumkan tidak tahu mengapa dia diserang dan mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Dungun pada hari sama untuk tindakan lanjut.

“Akibat tindakan dua suspek, mangsa menanggung kesakitan muka, tangan dan kaki.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 3:30pm
d