mutakhir

Penduduk Bukit Malut akan dibantu

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

KERAJAAN akan membantu membina dan menyusun semula penempatan penduduk di Bukit Malut dalam menyelesaikan isu sosial serta masalah dadah di kawasan itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pelbagai masalah timbul di kawasan itu berikutan penduduknya tidak memiliki rumah selesa untuk didiami.

“Kita tahu mereka (penduduk Bukit Malut) bukan penduduk tempatan, mereka datang dari tempat lain dan tidak memiliki rumah.

“Jadi mereka datang ke sini dan mendirikan rumah sehingga kawasan Bukit Malut menjadi kawasan setinggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Langkawi di Kompleks Sukan Langkawi hari ini.

Kawasan paya bakau dan hutan di Bukit Malut sudah diteroka secara haram sejak 80-an oleh pendatang asing sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan.

Dianggarkan kira-kira 800 rumah menempatkan antara 5,000 hingga 8,000 penduduk mendiami kawasan yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Kuah itu.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Menteri Sumber Asli, M Kulasegaran yang mencadangkan kerajaan membawa masuk tenaga kerja dari Afrika bagi sektor perladangan, Dr Mahathir berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan.

“Saya berpendapat masih terdapat ramai orang Malaysia dan kita tidak perlu membawa orang asing bekerja di negara ini.

“Namun orang Malaysia ramai tidak mahu bekerja dalam pekerjaan yang susah. Ini masih peringkat cadangan, kita belum muktamad apa-apa lagi,” katanya.

Terdahulu, lebih 5,000 orang ramai menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Langkawi yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Juhari Bulat dan ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad.

Berita berkaitan

Bukan mudah pindah setinggan - Dr Mahathir [METROTV]

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 4:16pm
d