mutakhir

Khayal berdengung

Oleh Shamsul Munir Safini

SERAMAI 13 lelaki yang sedang ‘berdengung’ air ketum diberkas polis bersama 76 bungkusan minuman itu di dua lokasi berasingan di Machang Bubok dan Kampung Tok Elong, Selasa lalu.

Dalam serbuan pertama jam 5.45 petang itu, tiga lelaki berusia 18 hingga 26 tahun yang sedang khayal ketum di sebuah rumah tanpa menyedari kehadiran polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam serbuan itu polis menahan ketiga-tiga suspek berkenaan.

Hasil pemeriksaan di dalam tandas rumah itu, polis menemui tong ais berwarna oren mengandungi 48 bungkusan plastik lutsinar disyaki air ketum.

“Hasil siasatan lanjut juga mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan ketum.

“Suspek kemudian diberkas dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, ” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di Kampung Tok Elong jam 7.30 petang, polis menahan lapan lelaki berusia antara 21 hingga 43 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan di sebuah rumah.

Hasil pemeriksaan menemui 28 plastik lutsinar berisi air ketum yang diletakkan di dalan tong ais di tempat duduk mereka.

Nik Ros Azhan berkata, semua air ketum itu dipercayai dimasak dan dibungkus di tempat lain, ia kemudian diletakkan di situ untuk jualan kepada penagihnya.

Katanya, semua mereka ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 4:30pm
d