mutakhir

Kren rempuh tiang lampu isyarat [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

KREN hilang kawalan sebelum merempuh tiang lampu isyarat dipercayai akibat masalah brek di Kampung Koh, Sitiawan semalam.

Difahamkan, kejadian 6.30 petang itu tidak membabitkan kenderaan dan mangsa lain.

Sejak malam tadi, tular video rakaman kejadian melalui ‘dashcam’ sebuah kenderaan yang berhenti di lampu isyarat berkenaan menunjukkan keadaan cemas ketika berlakunya kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca brek kren berkenaan yang gagal berfungsi.

Katanya, kren dari arah Simpang Tiga menghala ke Kampung Cina di sini itu dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas melanggar lampu isyarat.

“Bagaimanapun pemandu kren berusia 47 tahun tidak mengalami kecederaan manakala tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu.

“Polis juga sudah membuat ujian saringan air kencing terhadap pemandu dan mendapati dia negatif dadah,” katanya hari ini.

Muhammad Hanif berkata, kren itu ditahan untuk pemeriksaan manakala pemandu dikenakan saman Pol 257 mengikut Rule 10 LN 166/ 59.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 5:27pm
d