mutakhir

Kekalkan rekod cemerlang di Tanah Suci [METROTV]

Oleh Nik Sukry Ramli

JEMAAH haji yang akan ke Tanah Suci, Makkah mulai 4 Julai ini diminta mengekalkan rekod cemerlang dipegang jemaah dari Malaysia setiap kali musim haji.

Selain diakui jemaah haji paling berdisiplin, jemaah dari Malaysia juga sentiasa mendapat pujian Kerajaan Arab Saudi berikutan kaedah pengurusan jemaah terbaik dilakukan oleh Tabung Haji (TH) selama ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, beberapa penambahbaikan dilakukan dengan kerjasama Kerajaan Arab Saudi juga dijangka lebih memudahkan urusan sepanjang jemaah haji Malaysia berada di sana.

“Sebelum ini sudah ada sistem pintar digunakan imigresen di sana yang memberikan keselesaan kepada jemaah kita... mereka hanya perlu melalui pemeriksaan di kaunter pendaftaran masuk sebelum berlepas dan sebaik tiba di Makkah, jemaah boleh terus ke hotel atau tempat penginapan masing-masing dan bagasi milik mereka dihantar ke bilik jemaah.

“Mengenai keadaan cuaca di sana, saya dimaklumkan suhu di Makkah untuk musim haji tahun ini boleh mencecah 50 darjah Celsius, jadi saya nasihatkan mereka (jemaah haji) dapat membawa pakaian bersesuaian selain banyak minum air bagi mengelak terkena penyakit berkaitan fenomena gelombang haba,” katanya yang akan turut ke Makkah 2 Ogos ini untuk bersama-sama jemaah dari Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Perhimpunan Perpaduan Demi Negara dan Majlis Jalinan Muhibah Aidilfitri Peringkat negeri di Kuantan hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Baharin Idris.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai status permohonan penambahan kuota haji, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, perkara itu masih belum diputuskan Kerajaan Arab Saudi dan buat masa ini, kuota haji Malaysia kekal 30,200 tempat bagi setiap musim.

“Perkara ini adalah antara yang kita beri perhatian dan buat masa ini, kita akur dengan keputusan mereka (Kerajaan Arab Saudi) dan kita akan terus cuba memohon (penambahan kuota) daripada mereka.

“Saya difahamkan, perkara ini juga antara disuarakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Raja Salman ketika kunjungan ke Arab Saudi baru-baru ini.

“Kalau boleh ditambah (kuota), lebih bagus kerana buat masa ini, tempoh menunggu (giliran menunaikan haji) sangat panjang dan ada antaranya mencecah sehingga 100 tahun barulah dapat menunaikan haji,” katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 5:50pm
d