mutakhir

Lamanya air ini termenung

Oleh Nur Saliawati Salberi

“BAGAIKAN tinggal di tengah-tengah pulau apabila keadaan sekeliling dan di dalam rumah ditenggelami air.

“Saya buntu bila masalah ini akan selesai, mereka saling menunding jari tetapi sehingga kini belum ada penyelesaian,” luah pemilik rumah yang ditenggelami air termenung sejak dua minggu lalu, Badariah Othman, 53.

Kediamannya dan kakak yang dibina di atas tanah pusaka terletak di Kampung Kelemak, Alor Gajah berhampiran kawasan perindustrian ditenggelami air sejak dua minggu berikutan hujan lebat.

Menurutnya, sejak akhir tahun lalu apabila hujan lebat berterusan, kawasan rumahnya pasti ditenggelami air menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit.

“Mereka tidak merasa suasana sebegini, saya yang menghadapinya bingung memikirkan bila akan berakhir.

“Pelbagai surat dan aduan sudah dibuat, malah saya sendiri sudah ke Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) malah mereka juga sudah turun namun belum ada tindakan,” katanya.

Badariah berkata, sehingga kini dia dan keluarga belum berani untuk masuk ke dalam rumah kerana takut haiwan berbisa serta tidak tahan dengan bau busuk.

Dia yang menetap di Kuala Lumpur berkata, rumah itu digunakan apabila pulang pada setiap hujung minggu tetapi kini terpaksa tidur di hotel.

“Sudah pasti air termenung ini bercampur dengan pelbagai kotoran termasuk air najis serta sampah, itu yang menyebabkan bau yang amat busuk.

“Kejadian ini dipercayai berlaku akibat aktiviti pembuangan sampah haram yang menyebabkan pembentung sedia ada dan saliran sungai tersumbat,” katanya.

Menurutnya, dia amat berharap pihak bertanggungjawab mengambil serius perkara ini selain laporan polis turut dibuatnya.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Alor Gajah, Hafrin Salleh berkata, satu pertemuan segera bersama pihak berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan wakil penduduk akan diadakan.

“Kami juga sudah gerakkan pasukan siasatan mengenal pasti sungai yang didakwa tersumbat disebabkan tapak pelupusan sampah haram,” katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 5:51pm
d