mutakhir

JPV siasat kes anjing

Oleh Ibrahim Isa dan Nurul Amanina Suhani

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor masih menjalankan siasatan kes anjing baka kacukan Pittbull yang menyerang kanak-kanak hingga parah muka di Taman Makmur, Endau, Mersing Khamis lalu.

Pengarahnya, Dr Aida Muhid berkata, pihaknya baru dimaklumkan mengenai kejadian itu hari ini dan sepasukan anggota dan pegawai Pejabat Veterinar Daerah (PVD) Mersing diarah menjalankan siasatan.

“Sebaik menerima maklumat mengenai kes itu, tindakan pertama adalah menjalankan siasatan di tempat kejadian. Siasatan awal lebih kepada kes gigitan anjing itu, sama ada bebas penyakit anjing gila (Rabies) atau tidak.

“Kami kini menunggu laporan penuh yang dijangka siap esok, sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

“Antara tindakan yang boleh diambil termasuklah mengeluarkan surat kuarantin untuk pantau tanda klinikal penyakit Rabies selama 10 hari bermula esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, arahan kuarantin belum dikeluarkan namun anjing itu boleh ditahan sama ada di rumah pemilik atau di pejabat Majlis Daerah Mersing (MDM) Cawangan Endau bergantung kepada pemeriksaan doktor veterinar esok.

Katanya, anjing baka itu sebenarnya perlu dilesenkan dengan pihak berkuasa tempatan namun buat masa ini beliau tidak dapat memastikan sama ada anjing itu berlesen atau tidak.

“Kami masih menjalankan siasatan dan maklumat diperolehi belum lengkap. Selepas selesai siasatan kami akan kongsi hasilnya.

“Sebarang tindakan yang bakal diambil bergantung pada siasatan pasukan kami,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing dalam kenyataan berkata, kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun parah muka dipercayai digigit anjing baka campuran Pittbull di rumah jirannya.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, mangsa yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching, Endau, dikatakan bermain di rumah jirannya dan pada masa sama, rantai tali pengikat anjing tercabut.

Anjing itu menggigit muka dan beberapa bahagian badan mangsa dan siasatan awal mendapati pemilik anjing tidak mempunyai permit atau lesen untuk memiliki haiwan itu.

Mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk menjalani rawatan kecemasan sebelum dihantar ke hospital pakar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, anjing itu dibela lima tahun lalu.

Berita berkaitan

Parah muka digigit anjing jiran

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 6:58pm
d