mutakhir

Mesti ada tindakan - Muhyiddin

Oleh BERNAMA

MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak tegas sekiranya ada kumpulan samseng yang cuba melindungi sindiket sampah import di negara ini.

Beliau berkata, jika perbuatan sedemikian dikesan berlaku di negara ini, maka ia tidak boleh dibiarkan.

Menurutnya, perbuatan itu sudah tentu menyalahi undang-undang negara dan tindakan perlu diambil untuk membanterasnya.

“Ketua Polis Negara (Datuk Seri Abdul Hamid Bador) tidak akan beri ruang kepada mereka ini (kumpulan samseng)... mesti ada tindakan.

“Jika ada maklumat berhubung isu ini, saya minta segera lapor kepada PDRM,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Kelestarian Pertubuhan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan di Kuala Lumpur, hari ini.

Muka depan Harian Metro, Rabu lalu, melaporkan ada kilang haram di Kuala Langat masih menjalankan operasi memproses sisa pepejal, walaupun premis berkenaan sudah disita kerana tidak memenuhi spesifikasi dan syarat ditetapkan pihak berkuasa.

Tinjauan juga mendapati ada kilang berlesen, namun tidak mempunyai AP skrap plastik kod tarif 39.15 yang turut dipercayai mengimport bahan berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memantau rapat perkembangan terbaru ini.

Menurutnya, pasukan JSJ Bukit Aman akan menangani kes berkenaan memandangkan ianya semakin serius kerana membabitkan gengsterisme yang boleh mengancam keselamatan masyarakat.

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 1:23am
d