mutakhir

Drama toksik

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

DRAMA inspirasi daripada tragedi Sungai Kim Kim menjadi ‘tuah’ buat kumpulan Sweetly Dangerous Squad dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kepong, Kuala Lumpur apabila diumumkan tempat pertama Pertandingan Akhir Petrosains Sains Drama 2019 sekaligus membawa pulang hadiah RM1,500.

Lebih mengujakan, semua 12 peserta berusia 10, 11 dan 12 tahun dari sekolah itu mewakili Malaysia ke Beijing, China bagi penyertaan Pertandingan Drama Sains Antarabangsa pada 25 Julai ini.

Pada masa sama, mereka membawa pulang hadiah berupa barangan Petrosains, plak serta sijil penyertaan.

Peserta terbabit, Lim Jing Zhe, 12, berkata, dia dan rakan tidak menyangka kumpulan mereka diumumkan sebagai pemenang pertandingan itu sekaligus akan berusaha yang terbaik pada pertandingan di China.

“Memang sangat gembira sebab kami tidak menjangkakan memenangi tempat pertama memandangkan sekolah lain juga hebat dan persembahan mereka menarik.

“Sepanjang pertandingan ini, banyak perkara dipelajari selain berkenalan dengan peserta lain, dalam kumpulan ini kami sentiasa menyokong, bekerjasama dan memberi semangat antara satu sama lain.

“Pertandingan ini juga menarik minat serta mengubah persepsi saya terhadap mata pelajaran Sains kerana sebelum ini, saya lebih menyukai Matematik,” katanya ketika ditemui pada Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir Petrosains Sains Drama 2019, semalam.

Hadiah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Fedora Zulkifli kepada semua pemenang pertandingan berkenaan.

Dalam pada itu, Guru Mata Pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris SK Taman Kepong, Nurul Jannah Baharin berkata, dari segi penceritaan drama, idea asal direka guru malah skrip berkenaan beberapa kali dirombak menerusi hasil perbincangan bersama.

“Kita mengambil inspirasi kisah daripada tragedi di Sungai Kim Kim tetapi diubah nama tempat, penceritaan dan sebagainya. Drama dipersembahkan ini mengisahkan seorang majikan mengarahkan pekerjanya membuang bahan toksik di sungai.

“Bagaimanapun, sesuatu berlaku apabila anak majikan itu dimasukkan ke hospital susulan pencemaran daripada bahan toksik ini,” katanya.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi kumpulan The Guardians of Immunia dari SK Setiawangsa, Kuala Lumpur dan membawa pulang hadiah RM1,000 serta barangan Petrosains, plak dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga kumpulan The Drama Queens dari SK Saint Thomas, Pahang dan memenangi hadiah RM500, barangan Petrosains, plak dan sijil penyertaan.

Sebanyak 10 kumpulan bertanding dan persembahan membabitkan masa tujuh minit berkonsepkan sains dengan tema Chemistry Makes Life Better.

Pertandingan disokong Kementerian Pendidikan dan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi yang menaja tiket penerbangan pemenang ke Beijing.

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 8:04am
d