mutakhir

Ngerinya!

Oleh Nur Saliawati Salberi

LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah Perodua Kancil, dalam kejadian di Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput- Ayer Keroh (SPA) berhampiran Stadium Hang Jebat, Melaka, hari ini.

Kejadian 2.15 pagi itu mengakibatkan mangsa Ahmad Husain Abdullah, 20, yang menunggang Yamaha LC maut di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri (JSPT) Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang seorang diri dalam perjalanan dari arah Krubong menghala ke Sungai Udang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa dikatakan melanggar belakang Perodua Kancil dipandunya anggota bomba berusia 20 tahun.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

“Kenderaan pula akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan,” katanya.

Hasan Basri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 3:18pm
d