mutakhir

Ugut nak bakar rumah, bunuh!

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI bukan hanya membaling batu ke arah kereta jiran tetapi turut mengugut mahu membakar rumah dan membunuh ahli keluarganya dalam kejadian di Kampung Kuala Bekah, di Kuala Terengganu , kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.30 pagi apabila suspek berusia 30-an dikatakan tiba-tiba mengamuk dengan membaling batu ke arah kereta jiran dan merosakkan pelbagai barang yang ada di dalam rumah.

Menurut sumber, suspek yang baru beberapa hari keluar dari Hospital Kuala Berang, Hulu Terengganu kerana menjalani rawatan mental turut mengugut akan membakar rumah berkenaan.

Katanya, tindakan agresif suspek tidak berakhir di situ apabila dia mengugut mahu membunuh ahli keluarga kerana tidak berpuas hati ditegur bapanya berusia 73 tahn.

“Difahamkan, kejadian seumpama itu kerap berlaku menyebabkan warga emas itu nekad membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga kerana bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga yang lain terutama isteri dan salah seorang anaknya yang juga pesakit strok,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Roszita Md Saad membenarkan suspek direman selama empat hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 4:57pm
d