mutakhir

Muslim Care raikan pesakit hydrocephalus

Oleh Mahaizura Abd Malik

KECERIAAN jelas terpancar pada wajah 50 pesakit hydrocephalus atau lebihan cecair dalam otak yang diraikan Muslim Care Malaysia (Muslim Care) pada satu majlis sambutan Aidilfitri, di Gombak, semalam.

Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata, Majlis Amal Aidilfitri Bersama Anak Anak Syurga itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pesakit Hyrocephalus Malaysia (PPHM) dan Badan Amal Kasih Sayang Malaysia (BAKASA).

“Kami memilih pesakit ini kerana ia penyakit jarang berlaku dan paling sukar dijaga selain kurang menerima bantuan.

“Jadi majlis ini dianjurkan khusus untuk menceriakan pesakit ini supaya mereka berpeluang merasa suasana Aidilfitri.

“Kita juga amat berbesar hati turut menerima sokongan rakan baharu, BAKASA yang sudi bersama kita menjayakan program ini,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan Harian Metro Tuan Asri Tuan Hussein dan Presiden PPHM Azhana Ahmad Azhari.

Pada majlis sama, Muslim Care juga menyerahkan kerusi roda, barangan keperluan seperti lampin pakai buang dan susu serta wang tunai kepada pesakit yang memerlukan.

Zulkifli turut menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak menghidap hydrocephalus merujuk kepada pihak bertauliah seperti PPHM untuk mendapatkan nasihat terutama aspek penjagaan pesakit ini.

Sementara itu, Azhana berkata, keprihatinan Muslim Care memberi peluang kepada pesakit dan keluarga mereka merasai Aidilfitri.

“Ini kali ketiga kami diraikan dalam majlis seumpama ini, jika Muslim Care tidak meraikan kami, tiadalah sambutan.

“Walaupun kami sudah lima tahun ditubuhkan, kurang mendapat perhatian dan dana.

“Jadi, kami amat bersyukur dan berbesar hati Muslim Care sudi mengambil berat dan memberi sumbangan kepada pesakit memerlukan ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 6:15pm
d