mutakhir

Bijak kau dik... [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

“SAYA buat pintu automatik berkunci itu atas tujuan untuk mempertingkatkan tahap keselamatan di bilik kolej di sini. Namun, tak sangka ia boleh tular,” kata Danial Faiz Mokhtar, 18.

Terdahulu, kisah Danial Faiz itu tular di Twitter selepas dia memasang sistem pintu automatik berkunci yang hanya boleh dibuka melalui akses kad pengenalan di pintu bilik kediamannya di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang (KMKPh), Bandar Tun Razak, Jengka, Pahang.

Danial Faiz berkata, pernah berlaku kes kecurian di sekitar kolejnya yang membuatkan dia mahu memasang sistem itu atas tujuan keselamatan barangannya.

Katanya lagi, sebelum ini dia pernah melihat orang membuka pintu yang terkunci dari luar menggunakan dawai dengan mudah.

“Jadi saya ambil inisiatif untuk memasang sistem itu menggunakan Teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) dengan modal RM80.

“Saya hanya mempelajarinya dengan menontonnya di YouTube dan berjaya menyiapkan dalam masa sehari.

“Hanya saya dan tiga rakan sebilik saja yang boleh akses kepada pintu itu selepas saya memasukkan nombor pendaftaran (ID) kad pengenalan sistem masing-masing menggunakan sistem ‘programming’,” katanya kepada Harian Metro.

Danial Faiz yang menetap di Setiawangsa, Kuala Lumpur berkata, pada mulanya dia tidak tahu yang rakannya memuat naik video itu sehingga menjadi tular di media sosial.

“Namun, saya gembira apabila ramai netizen yang memberikan reaksi positif dan sokongan kepada saya.

“Ramai yang juga meminta saya untuk mengajar mereka membuat sistem itu. Insya-Allah, saya akan buat satu video tutorial untuk supaya ia memberi manfaat kepada semua, ” kata penuntut jurusan Kejuruteraan di KMKPhj.

Anak pertama daripada tiga beradik itu, berkata dia memang minat dalam bidang kejuruteraan dan sistem robotik sejak daripada usia 8 tahun.

Sebelum ini, Danial Faiz pernah mengharumkan nama negara bersama tiga lagi rakannya apabila berjaya menduduki tempat kedua dalam pertandingan cabaran kemahiran di World Robot Summit (WRS) Junior School Robot Challenge Trial Competition 2017 di Tamagawa Academy & University, Jepun.

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 7:55pm
d