mutakhir

Individu conteng mural Adib perlu rasional

Oleh Garret Dawum

INDIVIDU menconteng mural anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di bawah jejambat berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam perlu berfikiran rasional memandangkan kes berkenaan belum selesai.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan itu bukan cara sekiranya mahu meluahkan rasa ketidakpuasan hati kepada pihak tertentu.

“Kita perlu berfikiran waras dan menjadi masyarakat rasional dalam menghadapi status negara maju.

“Buat masa ini, kami masih tidak mendapat maklumat lanjut berkenaan kejadian itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis ramah tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai JBPM Sarawak di Ibu Pejabat JBPM di Kuching, malam ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman.

Mohamad Hamdan berkata, kes membabitkan Muhammad Adib masih dalam prosiding inkues dan pihaknya tidak boleh memberi komen dengan lebih lanjut.

“Punca masih dicari dan JBPM sememangnya sangat mementingkan kebajikan, keselamatan, kesihatan warganya ketika bertugas.

“Pekerjaan bomba sememangnya mempunyai risiko tertentu terutama apabila berdepan dengan panggilan kecemasan. Anggota tidak tahu risiko bakal dihadapi dan mereka sentiasa bersedia untuk membantu tidak kira waktu,” katanya.

Kejadian menconteng mural Muhammad Adib disedari pengguna jalan raya yang melalui jejambat Bulatan Selangor, Seksyen 15, semalam sebelum ditularkan di media sosial.

Difahamkan, lukisan terbabit dilukis pada minggu lalu bagi memperingati jasa dan pengorbanan Muhammad Adib yang maut ketika menjalankan tugas dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, hujung tahun lalu.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Subang Jaya parah dalam rusuhan di tapak kuil itu pada 27 November tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

  • Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib
  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 11:42pm
    d