mutakhir

Cubaan seludup anak pokok gagal

Oleh Hamzah Osman

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi menahan tiga lelaki dan merampas anak pokok getah, durian, kedondong dan dokong dari Thailand bernilai RM71,100 yang cuba diseludup masuk ke negara ini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, pasukan PPM yang menyertai Ops Landai turut merampas sebuah lori dan bot enjin sangkut di pesisiran Pantai Tanjung Rhu.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, penahanan lelaki berusia antara 38 dan 62 tahun itu dibuat hasil risikan dan aduan awam mengenai kes penyeludupan benih pokok dengan cara tidak diwartakan.

“Terdahulu anggota mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

“Turut dikesan sebuah bot enjin sangkut yang sarat dengan muatan tumbuhan dipercayai cuba diseludup ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rohizan berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot itu menemui 615 anak pokok getah, durian (157), kedondong (10) dan dokong (enam) yang tidak mempunyai sebarang dokumen sah.

“Suspek terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang warga Thailand. Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori serta bot dianggarkan RM71,100.

“Ketiga-tiga suspek dan barangan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM di Bukit Malut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 9:17am
d