mutakhir

Dijel, denda kerana Musang King

Oleh Siraj Mohd Zaini

PEKERJA bazar malam dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri durian Musang King pada 1 Jun lalu.

Tertuduh, Luqman Hakim Yusof, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri lima paket durian Musang King yang dianggarkan bernilai RM400 kepunyaan pasar raya di Seksyen 13, Shah Alam, 1 Jun lalu.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira 6 petang di pasar raya berkenaan.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azamuddin Abdul Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam Sallehudin Salam.

Terdahulu, Khairul Azamuddin memohon agar hukuman berat dijatuhkan terhadap tertuduh dan berbentuk pengajaran kepadanya.

Bagaimanapun, Sallehudin di dalam rayuannya berkata tertuduh menyesali perbuatannya itu dan memohon hukuman ringan kerana perlu menjaga ibu yang lumpuh.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 12:11pm
d