mutakhir

'Polis' tinggalkan dalam kebun getah

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI asing bukan hanya menanggung kerugian apabila menjadi menjadi mangsa samun dua lelaki tetapi turut ditinggalkan di kebun getah di Bukit Anak Dara Kijal, Chukai kelmarin.

Mangsa berusia 34 tahun yang sebelum itu tidur di rumahnya di ladang sawit di Kampung Jong Belaboh didatangi dua lelaki dengan seorang daripadanya mengaku polis 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, dua suspek kemudian masuk ke dalam rumah mangsa dan menyelongkar serta meminta pasport mangsa dan rakannya berusia 50 tahun.

Beliau berkata, suspek meminta wang RM200 dengan alasan terdapat kes wanita tempatan diculik warga Indonesia namun mangsa dan rakannya memaklumkan tiada wang sebelum mengambil telefon bimbit mangsa.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa mengikuti mereka kononnya untuk dibawa ke balai polis sebelum dibawa ke Bukit Anak Dara, Kijal.

“Mangsa ditinggalkan di kawasan kebun getah di kampung itu manakala kedua-dua suspek melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Said berkata, rakan mangsa membuat laporan di Balai Polis Ayer Jerneh.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 6:02pm
d