mutakhir

9 bot nelayan asing dilucut hak

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

SEMBILAN bot nelayan Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan sepanjang Januari hingga Jun tahun ini dilucut hak oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membuat keputusan itu selepas mahkamah membenarkan permohonan lucut hak dikemukakan APMM.

Terdahulu, APMM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustaffa manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pemangku Pengarah APMM Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, empat daripada sembilan bot dilucut hak dituduh mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia.

Katanya, setiap tekong bot didenda RM90,000 atau lapan bulan penjara sementara awak-awak didenda RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

“Pertuduhan ini membabitkan 36 individu termasuk awak-awak dan tekong.

“Lima bot lagi dituduh mengikut Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia ketika melalui perairan Malaysia,” katanya.

“Tekong setiap bot ini didenda RM150,000 atau lapan bulan penjara. Pertuduhan ini membabitkan lima tekong,” katanya.

Beliau berkata, pertuduhan di mahkamah menunjukkan pihaknya serius menangani masalah bot nelayan asing Vietnam di perairan negara.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 8:10pm
d