mutakhir

Tiga individu dicari

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS membongkar kegiatan samun didalangi Geng Ah Hau dengan penahanan lima lelaki termasuk dalang utama kumpulan itu dalam serbuan berasingan di Kajang dan Cheras, 20 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, sebelum ini pihaknya menerima laporan kes pecah rumah di Taman Putri Jaya, Batu 9 Cheras 5 Mac lalu dipercayai dilakukan geng berkenaan.

“Hasil maklumat dan risikan, kami menahan lima lelaki terbabit berusia lingkungan 30-an termasuk ketua geng dikenali Ah Hau, 35.

“Dalam serbuan itu, kami merampas peralatan pecah rumah dan barang hasil kegiatan pecah rumah seperti jam tangan, komputer riba serta telefon bimbit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan mendapati geng itu dipercayai terbabit dengan 15 kes samun di sekitar Kajang, Cheras, Petaling Jaya dan Shah Alam.

“Kami sedang mengesan tiga individu termasuk wanita bagi membantu siasatan.

“Individu itu Lim Y Ngjin, 26, yang beralamat Blok A1-08 Taman Taming Jaya, Balakong.

“Kami juga mengesan Virgina Gan Kwee Eng, 24, beralamat No 99 Jalan Junid Dalam Muar, Muar dan Chong Wai Fong, 23, beralamat No 67 Kampung Baru Balakong, Sri Kembangan,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 8:11pm
d