mutakhir

Saksi dakwa diminta larikan diri dari Malaysia

Oleh Murni Wan Omar

BEKAS Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC), Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa beliau ada menerima panggilan telefon selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu memintanya melarikan diri dari Malaysia.

Suboh berkata, ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil menghubunginya dari Shanghai, China.

“Nik Faisal ada menghubungi saya. Berdasarkan paparan di telefon ia adalah dari luar negara dan jika tidak silap ia dari Shanghai.

“Dia menasihatkan saya supaya meninggalkan Malaysia. Bagaimanapun saya tidak mahu berbuat demikian dan sudah memberi kerjasama dengan pihak berkuasa,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff.

Terdahulu, Suboh dalam keterangannya memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau hanya mengikut arahan Nik Faisal ketika menandatangani surat arahan pindahan wang RM50 juta daripada SRC kepada dua anak syarikat iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Beliau berkata demikian dirujuk dokumen iaitu tiga surat arahan pindahan wang yang mengandungi tanda tangan miliknya dan Nik Faisal.

Tiga transaksi itu membabitkan RM40 juta daripada akaun SRC kepada akaun Gandingan Mentari pada 24 Disember 2014, RM5 juta daripada SRC kepada Gandingan Mentari pada 5 Februari 2015 dan RM5 juta lagi daripada SRC kepada Ihsan Perdana pada 6 Februari 2015.

ISHAK: Mengapa wang itu dipindahkan?

SUBOH: Konon nak buat CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat).

ISHAK: Kamu juga adalah Pengarah Gandingan Menteri?

SUBOH: Ya.

ISHAK: Kamu menjadi pengarah dua syarikat (SRC dan Gandingan Mentari)? Bagaimana boleh jadi begitu?

SUBOH: Tidak tahu, saya hanya berpandukan nasihat oleh Nik Faisal. Saya ikut saja.

Dalam keterangannya, Suboh turut memberitahu mahkamah bahawa ketika berada di Bangkok, Thailand pada 2015, beliau ada menandatangani dua Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) atas arahan Nik Faisal.

Suboh sebelum ini pernah melarikan diri ke Bangkok selepas diarahkan oleh seseorang dan beliau adalah salah seorang penanda tangan bagi akaun SRC.

Menurutnya, DCR itu adalah membabitkan Ihsan Perdana dan pembayaran oleh Gandingan Mentari kepada Ihsan Perdana.

“Nik Faisal menghantar seorang lelaki warga Thailand dikenali sebagai ‘Kun’ bagi membawa dokumen itu kepada saya untuk ditandatangani.

“Ketika itu dokumen sudah mempunyai tanda tangan Nik Faisal bagaimanapun ruangan tarikh masih kosong. Selepas itu saya serahkan kembali kepada Kun,” katanya.

Suboh dalam keterangannya juga mengesahkan kepada mahkamah bahawa SRC melantik Ihsan Perdana sebagai rakan kongsi CSR, walaupun tanpa resolusi daripada pengarah.

“Saya bersetuju dengan lantikan itu selepas Nik Faisal memberitahu ‘orang atas’ bersetuju dengan perlantikan itu.

“Saya faham ‘orang atas’ merujuk kepada Najib,” katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Muhammad Shafee, Suboh memberitahu mahkamah bahawa tanda tangannya mungkin berubah akibat perubahan tahun atau disebabkan penyakit angin ahmar dan jantungnya.

Beliau juga turut memberitahu bahawa ia juga mungkin dilakukan ‘ikut sedap’ atau ketika berdiri atau duduk.

Suboh juga tidak menafikan kemungkinan bahawa tandatangannya ada ditiru oleh Nik Faisal bagi tujuan untuk memindahkan wang di dalam akaun syarikat.

Di dalam prosiding sebelah petang hari ini, Muhammad Shafee menggunakan projektor untuk menunjukkan perbezaan tandatangan Suboh antara dokumen asal (hard copy) dengan dokumen yang diimbas (soft copy).

Saksi ke-42 itu mengakui bahawa tanda tangan antara kedua-dua dokumen tidak sama satu sama lain.

SHAFEE: Saya cadangkan kepada kamu bahawa Nik Faisal memalsukan dan mengimbas tanda tangan milik kamu?

SUBOH: Mungkin

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 8:14pm
d