mutakhir

MILO giat suntik kesedaran

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

MILO kembali lagi dengan penganjuran Hari Sarapan Malaysia MILO, acara sarapan pagi terbesar di negara ini dalam usaha berterusan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan bersarapan dengan sihat dan berkhasiat.

Penganjurannya yang kini masuk tahun ketujuh memfokuskan terhadap kepentingan memulakan hari dengan sarapan pagi yang sihat khususnya untuk kanak-kanak supaya kekal bertenaga menghadapi rutin harian.

Pengarah Eksekutif Unit Perniagaan Milo dan Susu, Nestlé Products Sdn Bhd, Kumaran Nowuram berkata, menerusi penganjuran kali ini, pihaknya mensasarkan kehadiran keseluruhan berjumlah 100,000 peserta membabitkan tujuh lokasi berbeza di seluruh negara.

“Pemulaan Hari Sarapan Malaysia MILO bermula di Putrajaya selama dua hari pada 29 dan 30 Jun lalu dengan jumlah kehadiran 50,000 peserta bagi menyertai pelbagai aktiviti menarik sesuai untuk seisi keluarga.

“Seterusnya, penganjuran acara ini diadakan di enam lokasi lain iaitu Pulau Pinang; Kuantan, Pahang; Batu Pahat, Johor; Kota Bharu, Kelantan; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak,” katanya kepada pemberita pada Hari Sarapan Malaysia MILO di sini.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti berlangsung sepanjang dua hari penganjuran di sini, seperti larian, zumba dan aktiviti lain untuk keluarga serta berunsurkan pendidikan.

“Tahun ini, kita membawa kelainan kerana turut menampilkan aktiviti meningkatkan kesedaran kitar semula dalam kalangan masyarakat.

“Kita memberi pendedahan kepada mereka mengenai karton MILO (minuman MILO dalam kotak) boleh dijadikan barangan lain seperti atap rumah,” katanya.

Mengulas lanjut, Kumaran berkata, sejak sekian lama, MILO sentiasa memupuk rakyat Malaysia supaya kekal aktif selain mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan.

“Justeru saya berpendapat, aktiviti sebegini penting kepada kita malah, penganjuran Hari Sarapan Malaysia MILO sebagai meningkatkan kesedaran rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dan makanan seimbang,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif, Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, pihaknya memainkan peranan untuk membantu mewujudkan kehidupan lebih sihat dan bahagia dengan menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

“Memupuk tabiat sarapan pagi yang sihat adalah selari dengan matlamat kami untuk meningkatkan mutu kehidupan dan menyumbang kepada masa depan lebih sihat.

“Justeru, kami amat teruja untuk meneruskan Hari Sarapan Malaysia MILO sebagai platform menyatukan keluarga untuk bersama mempelajari kepentingan sarapan pagi yang sihat dan seimbang sebagai sumber tenaga untuk memulakan hari di samping menggalakkan gaya hidup sihat menerusi pelbagai aktiviti fizikal dalam acara ini,” katanya.

Bagi meneruskan usaha memupuk amalan sihat dalam kalangan pengguna, MILO bekerjasama dengan Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) pada kempen Hari Sarapan Malaysia MILO.

MDA menawarkan pemeriksaan Indeks Jisim Tubuh (BMI) dan sesi Ask A Dietitian menyediakan khidmat perundingan mengenai diet serta penyakit berkaitan kepada peserta.

Pada masa sama, MILO turut meneruskan kerjasama dengan Food Aid Foundation dan sebahagian dana yang dikumpul daripada larian Hari Sarapan Malaysia MILO akan dimanfaatkan untuk membantu misi Food Aid Foundation menyediakan pilihan sarapan pagi yang sihat kepada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai jelajah Hari Sarapan Malaysia MILO, boleh melayari www.milo.com.my.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 8:40pm
d