mutakhir

Bentang di Kabinet pada Jumaat

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KEMENTERIAN Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan membentangkan satu memorandum di Kabinet pada Jumaat ini, bagi mendapatkan peruntukan mewujudkan stesen pemantauan bahan cemar udara secara tetap di Pasir Gudang.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, stesen pemantauan itu adalah lebih spesifik bagi memantau isu pencemaran udara di kawasan berkenaan.

“Jumaat ini kita akan bentang di Kabinet, satu memorandum untuk mendapatkan peruntukan pemasangan stesen pemantauan bahan cemar udara ini.

“Ia akan memantau dan membuat bacaan dalam isu pencemaran udara. Ia lebih spesifik dan kita harap dapat wujudkannya secepat mungkin,” katanya ketika sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.

Beliau berkata, selepas pemasangan stesen pemantauan itu, orang ramai boleh membuat pemerhatian bacaan melalui dalam talian.

Selain itu, Yeo berkata, pihaknya juga sudah berbincang dengan kerajaan negeri bagi perancangan Pasir Gudang yang lebih holistik.

“Pasir Gudang ini padat, kilang sangat dekat dengan sekolah, ada yang 300 meter saja dengan sekolah. Maka, perancangan lebih holistik perlu.

“Kita sudah bincang dengan kerajaan negeri supaya perancangan Pasir Gudang ini lebih lestari pada masa depan.

“Kita sudah tidak boleh luluskan lagi semua kilang kimia dan kilang sedia ada perlu kita rujuk semula, perlu analisis semula,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, lebih 100 pemeriksaan secara proaktif sudah dijalankan terhadap kilang kimia sejak insiden pencemaran Sungai Kim Kim berlaku.

“Mungkin pemeriksaan ini tidak cukup tetapi kita buat secara proaktif. Berbanding tahun lalu, kita sudah tingkatkan antara 35 peratus hingga 40 peratus pemeriksaan dan penguatkuasaan.

“Kita akan perbaiki dan fikir apa-apa cara yang boleh dibuat supaya pemantauan itu lebih baik dan kita akan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan,” katanya yang turut memberitahu sebanyak tiga kilang kimia ditutup sejak masalah gangguan kesihatan dilaporkan pada 20 Jun lalu.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan akan terus mengutamakan kesihatan rakyat berbanding kepentingan industri.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 9:25pm
d